Cukup Sudah, Full Stop, Alhamdulillah
Circa 1994
'Hang besar nanti nak jadi apa' Tanya seorang rakan. 'Posmen, boleh bawa basikal, hantar surat rumah orang, hantar kad raya masa hari raya'. Begitulah lebih kurang jawapan saya ketika berumur 9 tahun. Hidup di kawasan kampung pinggir pekan Ipoh, dalam masyarakat yang kebanyakannya macam golongan B40 sekarang ( termasuk saya sendiri ), memang tak nampak lagi apa kerja yang sesuai yang dapat saya fikirkan pada masa itu.
Masuk sekolah menengah, masa itu sedang minat sangat dalam sukan terutama bola sepak dan badminton, tengok bagaimana seronoknya cikgu PJ mengajar murid-murid bersukan, minat saya beralih. 'Nak jadi cikgu PJ lah, boleh ajar budak-budak bersukan, dapat gaji 300 ringgit sebulan pun bagus, janji kerja seronok' kata saya dalam hati.
Dari situ saya mula memasang angan-angan@cita-cita untuk menjadi seorang guru. Saya bukanlah pelajar yang brilliant macam budak-budak sains matematik, lebih kepada otak kanan kesusasteraan. Nak catch up subjek pun agak lambat. Selalu kena ulang dan buat dua tiga kali kerja baru menjadi. Tapi saya tidak berputus asa, cuba juga hingga boleh walaupun lewat.
Azam saya menjadi guru didorong juga oleh pakcik sedara yang merupakan bekas guru besar di Batu Gajah, Perak (Al-Fatihah di baca untuk arwah)
Menjadi Guru Sementara
Apabila habis SPM, saya mula memohon jadi Guru Sementara. Pada usia 20 tahun (1985), saya dapat tawaran di sebuah sekolah rendah di Chemor, Perak. Berdebar rasanya. Maklum pengalaman baru pertama. Jauh jugak jaraknya berulang dari rumah di Ipoh kira-kira 25km. Jadi Guru ganti guru bersalin. Naik bas hari-hari ulang-alik. Seronok sekolah tu, sekolah lama dengan bangunan rumah batu dan papan macam rumah quarters pegawai British, becampur jantina dan majoriti kaum Melayu dengan 3-4 orang kaum Cina dan India. Kebanyakan golongan B40, dengan latar belakang keluarga bekerja sendiri seperti penoreh getah, pertukangan, peruncit dan kilang. Saya mengajar kelas darjah 6. Seronok mengajar, budak-budak kampung ni patuh, hormat dengan cikgu-cikgunya.
Sekolah pertama mengajar sebagai guru ganti di Chemor, Perak. Foto dari google. Tak ada dah bangunan sekolah ni |
Selepas habis tempoh selama sebulan setengah, saya dapat tawaran di sekolah rendah di pekan Ipoh pulak. Budak lelaki semuanya, darjah satu pulak. Mak aiiii..., hypernya budak, tungging terbalik dibuatnya kelas. Berbeza dengan sekolah kampung yang terdahulu. First time pengalaman dengan budak-budak kecil. Pastu asik kena check in dengan penyelia petang pasal kelas selalu bising. Seminggu ajela dapat bertahan dan ambil keputusan untuk sambung belajar ambil STPM.
Dengan sijil yang ada dan kebolehan dalam bidang sukan, selepas STPM saya memohon masuk maktab perguruan. Pergila interview segala...
Masuk Maktab Perguruan
Setelah lama menunggu sehingga ada rakan-rakan sudah mendapat tawaran, akhirnya surat tawaran yang ditunggu-tunggu tiba juga. Gembira bukan kepalang, cita-cita saya akhirnya tercapai. Saya mendapat tawaran ke Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu dalam jurusan Pengajian Melayu Sekolah Rendah.
First time keluar Ipoh dan Perak. Cuak jugak. Sebelum ni paling jauh pun ikut rombongan cik kiah ke Pulau Pinang aje. Tak pernah pun tinggalkan mak bapak keluarga dan Ipoh lebih dari 3 hari. Udahla jauh ke Terengganu, negeri yang asing bagi saya.
Julai 1987, saya mendaftar sebagai pelatih di maktab. Memang asing dan rasa sunyi pada awalnya. Home sick jugak dibuatnya. Maklumlah saya ni agak pemalu, penyegan, pendiam dan hencem pulokπ
.
Lama kelamaan saya mula menyesuaikan diri tapi dengan sikap saya yang sosial introvert ( baru tahu rupanya saya mempunyai kriteria sikap ini π), pergaulan saya agak terhad. Cuma dengan sedikit bakat saya dalam bola sepak, saya terpilih mewakili pasukan bola sepak maktab dan dapatlah meluaskan pergaulan dengan rakan-rakan lain. Kadang-kadang hujung minggu pergi bandar KT berjalang-jalan. Pernah jugak ke Stadium Nasiruddin Syah menonton bola Piala Malaysia dan mengekalkan tabiat lama menonton movie di panggung wayang sebelah stesen bas KT π.
Circa 1987 - Pengajian Melayu Maktab Perguruan Kuala Terengganu. Kredit foto dari group whattaps |
Kelas Pengajian Melayu Sesi 1987/89 - circa 1989. Kredit foto group whattaps |
Mula menjadi guru
Disember 1989, selepas habis pengajian dapat posting mengajar di Kuala Lumpur. Halamak...best ke tak? Memang saya mohon posting KL sebagai pilihan kedua selepas Perak, tapi tak sangka pulak begitu mudah mendapatnya. Tapi tak apa, saya memang town boy, lagipun saya pernah singgah di KL pada 1988 ketika ke Stadium Negara menonton kejohanan badminton Piala Thomas. Tambahan pula saya mempunyai dua adik perempuan yang bekerja di sebuah mall di Subang Jaya. Ada jugakla yang boleh membantu nanti.
4 Disember 1989, saya mendaftar dan mengajar di sekolah rendah di Salak Selatan,dalam area Pudu dan Sungai Besi. Tidak seperti yang dijangka, ingatkan kotaraya KL ini orang senang-senang, rupanya ada yang hidup lebih susah lagi dari orang kampung halaman di Ipoh. Kebanyakan murid-murid dari area setinggan dan flat kos rendah. Ada jugak anak-anak polis dari balai polis yang berhampiran.
Mula-mula saya menumpang dome sewa adik di berhampiran Subang Jaya. Berulanglah naik bas dari Subang Jaya ke Salak Selatan. Dari Subang Jaya kena naik dua bas, pertama berhenti di Stesen Bas Klang berhampiran Central Market, kemudian berjalan ke Puduraya mengambil bas ke Salak Selatan.
Begitulah seterusnya selama lebih kurang 3 minggu sehingga abang Jxxxx mampos! π
Bus stand Klang. Transit berulang alik dari Subang ke KL |
Puduraya- transit sebelum pergi ke sekolah |
Walaupun penat bertukar bas, dan berjalan kaki, tapi seronok jugak bila ingat pengalaman ini. Laluan sekitar Central Market, Daya Bumi, Kotaraya, Petaling Street menjadi teman menyusuri kota Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian saya bersama rakan sekolah ( rakan semaktab juga) mendapat rumah sewa di kawasan setinggan di area sekolah. Dekat aje. Naik motor 5 mint, jalan kaki kalu 10 minit untuk ke sekolah. Bermulalah kehidupan di kampung setingarden di KL.
Dengan gaji dan elaun tak sampai RM500 sebulan, kehidupan di KL agak sukar walaupun hidup bujang. Tolak dengan makan minum, sewa rumah dan sedikit hantaran ke kampung, kemudian masuk tahun kedua ambil motor ar et jet hutang, hujung-hujung bulan semedang aje negatif. Nasib baik ada adik yang dekat, boleh jugakla meminjam-minjam..(terima kasih dekk )
Sekolah rendah - Circa 1992 |
Tahun pertama sehingga tahun ketiga jadi guru kelas mengajar budak-budak darjah satu. Seronok mula-mula mengajar, cikgu-cikgu lain kata saya ngam dengan budak-budak pasal saya sabar dan boleh layan kerenah budak. Budak- budak nak terberak atau muntah kena bawa sendiri ke toilet. Ada yang manja, ada yang nakal. Kadang-kadang hangin naik darah jugak dibuatnya, tapi kena sabar hadap. 3 tahun berturutan jugak layan budak-budak derajah 1.
Berkahwin pada 1995 dan ketika sudah beranak dua, saya mula bosan dengan persekitaran di sekolah, macam tiada peningkatan kerjaya. Tambahan pula, guru-guru junior yang lebih muda dari saya telah ada yang keluar menyambung pelajaran. Memanglah dari awal kerjaya saya tidak berminat untuk berada dalam barisan pentadbiran, tapi ada terasa untuk membuat sedikit perubahan.
Circa1991 Circa 1993 |
Circa 1994 - Bujang lagi.... |
Foto Bersama Rakan Sekolah Rendah
Bersama guru 2 generasi. Orang lama Dan orang baru. Circa 1996 |
Bersama rakan-rakan 1 generasi. Circa 1998 |
Melanjutkan Pelajaran
1999, saya melihat satu tawaran yang amat sesuai dengan jiwa saya, iaitu berkaitan sukan. Universiti Malaya menawarkan pengajaian sepenuh masa dalam bidang Sains Sukan. Saya pun memohon dan permohonan saya diterima. Mei 2000 saya menyambung pelajaran ke UM setelah 10 tahun di sekolah rendah. Dalam usia 35 tahun, saya adalah antara pelajar yang tertua, hencem dan sado di Pusat Sukan Universiti Malaya π. Lain-lain kebanyakan freshies yang baru habis SPM atau STPM. Tidak seperti rakan lain di UM, saya berulang alik dari rumah ke pusat pengajian kerana rumah tidak jauh dan mempunyai keluarga. Tidak seperti cikgu-cikgu dari negeri-negeri lain, saya antara yang beruntung kerana univesiti tidak jauh dari rumah.
2000- Hari terakhir di sekolah rendah sebelum menyambung pelajaran. Al-fatihah untuk sahabat arwah Hj Cikgu Ayob yang banyak membantu |
2000 - Hari terakhir di sekolah rendah bersama rakan-rakan |
Namun bukan mudah untuk menamatkan pengajian di universiti. Bagi saya lebih banyak peristiwa sedih dan perit dari detik yang menggembirakan. Ibu bapa yang berpindah tinggal di Petaling Jaya sejak 1997 meninggal dunia ketika saya dalam pengajian. Kedua-dua meninggal di Pusat Perubatan Universiti Malaya ( sebelah tempat pengajian saya) akibat sakit kanser. Terkilan saya kerana arwah ayah dan ibu tidak sempat melihat satu-satunya anak mereka yang belajar di universiti tamat konvokesyen.
Arwah ayah dan ibu minggu suaikenal UM - Circa 2000 |
Sepanjang masa kedua orang tua ditimpa penyakit, pelajaran saya agak terganggu dan terpaksa sambung belajar dari 3 kepada 4 tahun. Satu kerugian bagi saya. Pada satu ketika, gaji separuh gaji belajar di tolak dengan pinjaman perumahan kerajaan, baki bulanan tidak sampai pun RM200. Dengan anak sudah berjumlah empat orang, walaupun isteri bekerja, tidak dapat menampung kehidupan dengan selesa. Saya terpaksa menjual kereta yang telah 5 tahun saya beli dengan kereta 2nd hand. Di samping itu saya membuat kerja part time untuk mengurangkan kos sara hidup.
2000- Minggu suaikenal di UM |
Minggu suaikenal bersama freshies dan guru sejawatan |
2004, alhamdulillah akhirnya dapat posting mengajar semula, dengan gaji permulaan RM1700 dan tambahan elaun dalam RM600, bolehlah bernafas sedikit dengan anak-anak yang mula bersekolah. Kehidupan kami tidak susah dan tidak juga senang. Mampu-mampu aje...Duduk di rumah pangsa DBKL hasil pampasan rumah setinggan arwah pak mentua yang diambil alih oleh kerajaan, sewa rumah adalah murah.
Ditempatkan di sekolah menengah, berbeza dengan sekolah rendah. Sekolah yang besar, dengan jumlah pelajar pagi petang dalam dua ribu orang, murid-murid pun besar dan agak sukar untuk dikawal, suka menjawab dan ada yang melawan guru. Bilangan guru pun ramai yang sehingga sekarang pun saya tidak mengingati semua nama-nama mereka.Tidak seperti budak-budak sekolah rendah. Awal-awal memang sukar, hingga selalu terfikir nak tukar balik Ipoh, tapi banyak perkara perlu diambil kira. Lama kelamaan masa berganti masa, melalui pengalaman, banyak yang dapat diatasi. Saya kekal di sekolah posting selepas graduate ini sehinggalah detik persaraan. Sepanjang kerjaya sebagai pendidik hanya dua buah sekolah sahaja saya berkhidmat, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Di sekolah, saya seorang guru yang kecil dan comelπ, tiada sebarang jawatan besar, sekadar guru biasa. Tapi saya merasai pengalaman yang saya minat dalam sukan, menjadi jurulatih bola sepak MSSKL. Dari seorang guru BM dan Matematik di sekolah rendah, di samping guru PJK saya beralih menjadi guru Sejarah di sekolah menengah. Saya bersyukur dengan keadaan saya. Tiada masalah besar dalam pekerjaan. Rakan rakan yang kebanyakan guru-guru yang jauh lebih muda ramai membantu, terutama dalam bidang IT yang semakin melonjak dalam dunia pendidikan. Saya cuba menunjukkan gaya 'happy go lucky' untuk menghiburkan diri dan rakan-rakan jika persekitaran agak tertekan.
Bersama pasukan bola sepak PLD Zon Sentul KL |
Sebelum hari-hari akhir persaraan di mana dunia dan negara dilanda gelombang Covid 19, saya merasai pengalaman bagaimana untuk memberikan pedidikan dan pengajaran kepada pelajar secara dalam talian di rumah. Memang bagi saya yang veteran yang pengetahuan IT tidak berapa tinggi, mengalami kesukaran pada awalnya. Namun saya beransur-ansur belajar meningkatkan pengetahuan dan Alhamdulillah saya telah boleh mengendali PdP dalam talian secara konsisten. PdP di rumah secara online di rumah memang memberi manfaat kepada pelajar-pelajar dalam pembelajaran dengan pelbagai teknik yang telah tersedia.
Akhirnya detik yang ditentukan sudahpun tiba. 10 Januari 2021 dan setelah 31 tahun, saya berada di titik noktah kerjaya saya sebagai guru yang kecil dan power rangers ππ. Tidak seperti guru-guru lain yang bersara sebelum ini, majlis perpisahan yang diadakan adalah agak besar dengan kehadiran semua guru dan murid, bersama beberapa persembahan yang akan menghiburkan hadirin. Namun majlis persaraan dan perpisahan saya bersama sorang lagi guru yang bersara sekadar kecil-kecilan dengan dihadiri oleh beberapa orang pentadbir dan guru kerana mematuhi SOP Covid 19 yang melanda negara. Namun saya tidak terkilan kerana itu telah ditentukan dan saya juga bukan person yang gemar disambut dan diberi perhatian.
Kepada yang membantu saya, samada dari pensyarah-pensyarah, rakan-rakan maktab /universiti yang banyak memberi ilmu, rakan-rakan sekolah baik yang lebih tua, sebaya atau pangkat adik-adik yang baru akil baligh πππ dalam profesion ini, terima kasih banyak-banyak diucapkan. Kepada murid-murid dan pelajar yang pernah saya asuh, didik dan bimbing, minta maaf kalau cikgu pernah merotan, mencubit atau smackdown awak semua π. Teruskan usaha hingga menjadi insan yang dapat membantu kelurga, membangunkan negara dan menjadikan masyarakat kita lebih penyanyang, bertolak ansur dan bertanggungjawab. Pengalaman bersama anda semua akan saya ingati dan semat di sanubari pada hari-hari persaraan dan masa jadi YB ini...π΄π΄π΄
Foto bersama rakan di sekolah menengah
Hari Guru 2017
Hari Guru 2018 |
2 comments:
Selamat bersara de'lenjen aka idola..
Terima kasih kawan
Post a Comment